Sunday, May 30, 2010

Kemenangan Shahir Sudah Dijangka - Berita Harian

pix_gal0

Pertandingan akhir Akademi Fantasia 8 tetap mendapat sambutan hebat meskipun musim ini dikritik ramai pihak


MELIHAT sikap merendah diri, pemalu dan punya ciri ketimuran membuatkan ramai yang `cair' dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 22. 

Shahir tidak ubah seperti juara AF4, Asmawi Ani atau Mawi suatu ketika dulu. Kehadirannya pasti mengundang jeritan dan pekikan sehingga setiap baris kata lagu yang dinyanyikan pasti mendapat sorakan kuat. Bagaimanapun, bak kata pengkritik tetap AF8, Aznil Nawawi - jangan hanyut dengan jeritan. Jeritan ini boleh bertukar menjadi jeritan ngeri dan menakutkan andai kata diri sudah tidak konsisten suatu hari nanti. 
Seperti dijangka, Shahir adalah calon juara pilihan ramai, malah pengetua AF8, Norman Abdul Halim dan Pengurus Saluran Ria, Azlin Reza Azmi awal-awal meramalkan Shahir bakal bergelar juara. Melihat keperibadian, sikap merendah diri, ciri ketimuran dan tone suara yang sedap, Shahir mempunyai pakej dan masa depan yang cerah dalam dunia nyanyian.

Malah lagu baru, Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan dan lirik Edry KRU yang dinyanyikan ketika di pentas akhir AF8 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu minggu lalu begitu membuai rasa. Ia diramalkan bakal menjadikan anak kelahiran Ipoh, Perak itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan juara AF lain seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy dan Hafiz.

Sebelum ini, Shahir pernah tersingkir dalam konsert ketujuh, bagaimanapun diumumkan masuk selepas mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) 'AF Masuk' tertinggi sebanyak 68 peratus pada konsert kelapan.

Shahir mengumpul undian 43.19 peratus, diikuti Siti Adira Suhaimi atau Adira, 19, (25.13 peratus) manakala tiga finalis lain, Muhd Shahril Firdaus Eli , 22, (Daus) menerima 12.47 peratus, Muhd Firdaus Maulana Mohamed, 22, (Maulana) peroleh 10.28 peratus dan Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20, (Iwan) menerima 8.93 peratus pada malam itu.
Masih terkejut dengan kemenangan, Shahir yang kelihatan menitiskan air mata di hadapan ribuan penonton berkata semuanya bagaikan mimpi. Dia bersyukur dengan kemenangan, tetapi menganggap bukan kemenangannya seorang diri.

"Hanya ungkapan syukur ke hadrat Allah SWT yang dapat saya katakan, ini adalah kejutan buat saya. Bagaimanapun, saya tidak anggap kemenangan untuk saya seorang, malah saya mahu berkongsi dengan teman-teman yang lain.

"Bagi saya, semua finalis AF8 adalah juara. Mereka juga hebat dan punya bakat yang luar biasa. Bagaimanapun, rezeki memihak pada saya, sama ada adil atau sebaliknya, saya reda. Saya fikir AF Masuk sangat memberi tuah kepada saya.
Saya mohon maaf akibat terlalu gementar dan terkejut, saya terlupa mengucapkan terima kasih kepada pengundi. Saya kenang jasa mereka yang mengangkat saya sebagai juara AF8," kata Graduan Diploma Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Dia menerima hadiah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian ke Hong Kong Disneyland, bekalan Brand's Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket ke New York tajaan Maybelline New York dan beberapa hadiah menarik lain termasuk telefon bimbit LG Prada tajaan LG Electronics berserta trofi.

Bekas anggota nasyid Saujana itu berkata, dia mahu mempertingkatkan ilmu dalam bidang seni. Dia menyerahkan hala tuju dan segala keputusan kepada Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).

Mahu ikut jejak Ramli Sarip

SHAHIR yang menyampaikan lagu Biru Mata Hitamku pada malam persembahan final itu mengakui berdebar menantikan suasana baru bagaimana dirinya meniti dunia populariti kerana masih tidak menyangka sambutan hebat yang diberikan pengundi dan peminat terhadapnya.

"Saya mahu menjadi diri sendiri dan tidak lupa asal usul dengan kemenangan ini. Saya tidak pasti bagaimana perasaan apabila bergelar penyanyi yang dikenali. Ini pun saya terkejut dengan senario berlaku dalam stadium, mungkin selepas ini saya akan menerima lebih kejutan dan berdepan banyak perkara baru.

"Yang penting ialah niat dan tujuan saya masuk AF kerana saya pernah masuk dalam dunia nasyid dan boleh mengembangkan mesej yang baik kepada masyarakat. Rasanya tidak salah untuk saya mengembangkan kebolehan dalam pelbagai genre lagu kerana saya ingin mencontohi Ramli Sarip yang menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat dalam nyanyiannya," katanya.

No comments:

Post a Comment