STATUS juara program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) 8 bukan lagi igauan. Malah Ahmad Shahir Zawawi menyifatkan sandaran itu bagai mati hidup semula selepas namanya pernah tersingkir di minggu ketujuh daripada gelanggang pencarian seni nyanyian itu.
Ketika bercakap dengan Selebriti, Selasa lalu, lelaki berusia 22 tahun ini mengakui masih terkejut dan menganggap usahanya selama ini untuk menjadi seorang penghibur akhirnya terbalas.
“Saya sememangnya tidak menyangka untuk memegang gelaran ini apatah lagi selepas nama saya pernah tercicir. Namun benarlah kata orang, kalau sudah rezeki, ia tidak ke mana-mana. Saya hanya memandang kemenangan ini sebagai satu cenderahati buat diri sendiri selepas bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan mingguan.
“Namun apa yang menarik untuk saya kongsi adalah pengalaman dan perasaan saya sepanjang minggu kesembilan yang mana saya diserap semula ke akademi. Jujurnya saya rasa bersalah, segan dan tertekan kerana peluang yang diberi itu bagaikan satu beban yang sangat berat untuk saya menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. Saya takut jika gagal mempersembahkan apa yang patut saya berikan kepada pengundi yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini.
“Rasa segan dan bersalah yang penuh menyelubungi itu, saya simpul menjadi semangat buat diri bagi memberikan sesuatu yang melangkaui kemampuan saya selama ini. Alhamdulillah usaha dan komitmen saya itu berbaloi akhirnya. Apa yang lebih menambah keyakinan saya apabila dua lagu yang saya nyanyikan benar-benar menyentuh selera peribadi terutamanya lagu baru ciptaan Edry Abdul Halim iaitu Kebahagiaan Dalam Perpisahan yang punya kekuatan tersendiri baik dari aspek lirik dan susunan muziknya,” katanya.
Bintang yang menjadikan penyanyi tersohor, M Nasir dan Jamal Abdillah sebagai inspirasi dan paksi ilhamnya ini berjaya memikat jutaan penonton pada malam Sabtu lalu dengan turut menyanyikan lagu Biru Mata Hitamku.
Mengakui pilihan muziknya iaitu pop rock dan balada lebih mesra masyarakat hingga mampu mengangkatnya sebagai juara AF, Shahir mengharapkan keajaiban akan terus mengiringinya hingga berjaya memiliki album solonya sendiri satu masa nanti. Setakat ini, pihak Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) dan Pengetua AF8, Norman Abdul Halim yang mengetuai empayar perniagaan kumpulan KRU sudah pun melancarkan kompilasi album bintang AF8 yang turut memuatkan single Shahir itu.
Peluang berada di kelompok bintang AF ini sudah cukup memberinya satu jalan pantas ke industri hiburan. Malah Shahir yang sememangnya memasang angan bergelar penyanyi sejak di bangku sekolah lagi menyifatkan sokongan yang diterima terutamanya di malam akhir itu hanya sebagai satu pembakar semangat dan tidak sekali membuai fasa populariti dalam sekelip mata itu.
“Saya sedar akan impak daripada program AF kerana sebelum ini saya sendiri adalah salah seorang daripada pengikut setianya. Justeru saya sudah faham dan boleh membaca sendiri tahap populariti yang pasti melekat pada setiap peserta. Fasa itu hanya bersifat sementara sekiranya usaha dan disiplin tidak bergerak seiring.
“Saya tidak mahu populariti yang datang melimpah hari ini terus melalaikan saya sebaliknya saya sudah menyediakan perisai sendiri bagi memastikan laluan saya mengecapi status penyanyi berkualiti itu tidak terkambus begitu saja. Hadirnya saya melalui AF adalah ikhlas bagi menjadi seorang penyanyi yang mampu memberikan seribu kematangan dan kerjaya yang baik,” katanya.
Memandang jauh ke hadapan, Shahir masih lagi menanti aturan perjalanan kerjayanya selepas ini daripada pihak AESB. Meskipun mengakui ada kata-kata yang membuka laluan kepadanya menjadi pelakon dan cabang seni lain, Shahir tetap dengan pendiriannya untuk membina nama sebagai penyanyi dulu bagi menguatkan jenamanya yang masih hijau.
“Saya hanya ingin menguatkan lagi kemampuan saya dalam nyanyian. Banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki terutamanya dari aspek vokal dan persembahan untuk tampak sempurna seperti penyanyi popular lain.
“Insya-Allah jika diberi peluang, saya ingin memastikan kerjaya saya sebagai penyanyi akan terus berkembang dengan menyuntik kelainan dalam gerak persembahan. Saya tidak mahu kelihatan seperti artis sedia ada kerana risau peminat akan jemu. Apa yang penting saya perlu fokus dan tidak mencampur-adukkan dengan soal lain,” katanya.
Relevan atau tidak, AF masih lagi menjadi pilihan ramai penonton setiap kali ditayangkan meskipun sudah lapan tahun menghiasi skrin televisyen. Walaupun ramai yang menyelar program realiti itu bagai hilang sengatnya, namun tatkala nama Shahir dijulang menjadi juara, pesona dan perhatian masih diberikan kepadanya.
No comments:
Post a Comment